Cara Memohon Untuk Program Biasiswa Cagamas Berhad

Cara Memohon Untuk Program Biasiswa Cagamas Berhad

Permohonan biasiswa Cagamas Berhad tidak sama sekali merumitkan malah ianya amat mudah, cepat dan ringkas. Pemohon hanya perlu memohon menerusi laman sesawang Cagamas Berhad. Borang permohonan disediakan secara atas talian di mana pemohon-pemohon yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan boleh memohon. Fokus dan juga target pelajar yang ditetapkan oleh pihak Cagamas semestinya golongan yang memerlukan iaitu golongan B40 yang jumlah pendapatan isi rumah sebanyak RM4,000 dan ke bawah. Bagi saya, biasiswa ini bukan sahaja bagi mereka yang memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan tetapi mereka yang percaya akan pelajaran cukup mampu mengubah sosioekonomi sesebuah keluarga.

Norhasinah

Cerita bagaimana saya memohon biasiswa Cagamas Berhad adalah sedikit unik dan ianya akan sentiasa tersemat di hati sanubari. Cerita orang biasa yang ingin menyambung pelajaran namun tidak ingin keluarga tercinta berasa payah lagi terbeban merupakan pendorong utama. Allahyarhamah ibu saya hanyalah seorang pengasuh kanak-kanak di rumah dan bergelar balu setelah kematian Allahyarham abah pada tahun 2011. Kekuatan kewangan bukanlah kekuatan yang saya ada dalam memperjuangkan cita-cita dan impian saya untuk menjadikannya suatu kenyataan. 

Namun demikian, dengan izin Allah, makcik saudara saya datang menziarah dengan membawa sinar harapan. Beliau memberitahu tentang peluang memohon biasiswa daripada Cagamas Berhad yang masih dibuka tetapi hanya tinggal beberapa hari saja lagi tarikh tutupnya. Hati saya kuat mengatakan inilah peluangnya walaupun belum tentu ianya akan jadi milik saya. Tanpa berlengah, saya terus log masuk ke laman sesawang Cagamas Berhad, mengisi segala butiran yang dikehendaki dengan maklumat yang betul dan tepat, memuat naik semua dokumen yang diminta dan menekan butang “hantar” sambil berdoa di dalam hati semoga adalah rezeki saya untuk menyambung pelajaran ke menara gading tanpa ada kekangan kewangan. 

Sekitar sebulan kemudian, saya mendapat khabar yang ditunggu-tunggu melalui e-mel mengatakan bahawa saya telah disenarai pendek sebagai calon yang akan menjalani ujian saringan dan juga sesi temuduga secara atas talian. Gembira tetapi berdebar-debar untuk melalui fasa seterusnya. Ujian dan sesi temuduga berjalan lancar di mana terdapat tiga (3) panel yang bertanggungjawab menemuduga semua calon yang disenarai pendek. Ianya merupakan pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya kerana diberi peluang untuk ditemuduga oleh semua ahli panel yang cukup peramah, terbayang keikhlasan mereka untuk cuba memahami latar belakang kehidupan calon-calon. Mereka membuatkan kami rasa selesa dan tidak kekok untuk berkongsi cerita.

blog pic 2

Kini sudah tiga (3) tahun saya bergelar penerima biasiswa Cagamas Berhad. Semestinya biasiswa ini memberikan seribu makna dalam usaha saya untuk bergelar graduan undang-undang. Dan percayalah, inilah peluang keemasan untuk mengubah masa depan.

Norhasinah

Norhasinah Binti Abd Haniff is from Batch 5/2020 of the Cagamas Undergraduate Scholarship Programme and is currently a third year Bachelor of Law undergraduate from Universiti Malaya.